Ads 468x60px

Main Menu

Featured Posts

Selamat datang :)

Saturday, 5 May 2012

Kewartawanan Dalam Talian Hendaklah Dikawal


Dewasa ini, isu-isu semasa mengenai kewartawan dalam talian semakin rancak diperkatakan. Menurut Wolk (2001) beliau mentakrifkan kewartawanan dalam talian sebagai berita dan maklumat berkualiti yang dipaparkan di Internet yang membenarkan orang ramai membaca, lihat dan dengar melalui komputer atau perkakasan bersesuaian.  Di prospek unik berbilang kaum di Malaysia, kewartawanan dalam talian telah dibahagikan kepada tiga kategori utama iaitu kewartawanan dalam talian arus perdana seperti Berita Harian Online, kewartawanan dalam talian bebas seperti Malaysiakini dan laman perkongsian dan perbincangan termasuk laman blog seperti blog Kadir Jasin. Kategori pertama dan kedua disertai oleh pemain arus perdana yang gah seperti Berita Harian, Utusan Malaysia, New Straits Time, Malaysiakini, Malaysia Today dan Agenda Daily yang masih diyakini berpegang teguh kepada etika dalam penyampaian berita dan terjamin kredibilitinya. (http://rolanddewolk.com/). Berdasarkan definisi ini, jelaslah pada pandangan saya bahawa kewartawanan dalam talian hendaklah dikawal demi keharmonian masyarakat terutamanya dalam prospek negara berbilang kaum di Malaysia.

Sejak dua tiga dekad yang lalu, hakikat kewujudan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (1984), Akta Hasutan (1948) dan Akta Komunikasi dan Multimedia (1998) merupakan antara klausa perundangan yang dianggap releven oleh Kerajaan dalam usaha mengawal kebebasan media dalam arus perkembangan arus perdana. Namun ironinya, dalam menempuh era globalisasi tanpa limitasi masa kini, hakikat klausa akta seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (1984) dianggap mustahil untuk dilaksanakan apabila terdapat jurang ketidakadilan media menerusi media cetak dan media elektronik apabila portal-portal berita tidak dikawal sepenuhnya menerusi Akta Komunikasi dan Media (1998). Hal ini demikian kerana, portal berita berhaluan kiri seperti Malaysiakini dan Malaysian Insider misalnya, mendapat ruang kebebasan dan ruang lingkup yang lebih besar berbanding media arus perdana sehingga bebas mengecam kerajaan, menyiarkan berita-berita yang menyinggung sensitiviti kaum dan agama serta bebas memetik berita dari pelbagai media arus perdana sebagai paradoks untuk dihentam oleh kedua-dua portal tersebut. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dilihat tidak telus dalam menyekat kebebasan bersuara ini sehinggakan laman-laman sosial seperti yang dilakukan oleh seorang pemuda, Nawawee yang menghina lagu Negaraku menjadi Negarakuku dibebaskan daripada ditahan seolah-olah kebal daripadakan sebarang tindakan lantaran tiada klausa kukuh dalam akta-akta kebebasan media di Malaysia. 

Selain itu, kewartawanan dalam talian dilihat membenarkan penulis dari ruang demografi yang luas seperti pelajar, pemerhati politik, ahli politik, pakar ekonomi dan ahli perniagaan menyuarakan pandangan dan suara sehingga berani bertindak melangkaui batasan menyampaikan berita secara semberono tanpa memikirkan natijah kesahihan sumber beritanya. Serangan berbentuk fitnah disampaikan sehingga menyentuh sensitiviti dan reputasi pihak yang terbabit dalam masyarakat. Masyarakat Malaysia yang masih lagi mentah dalam penerimaan berita daripada pelbagai sumber dalam talian mudah dipengaruhi lantaran kurang pendedahan oleh Kerajaan untuk mendidik masyarakat untuk menilai kesahihan berita dari awal. Salah faham dan kekeliruan yang berlaku menjadikan masyarakat pincang dan tidak mencapai kesepakatan. Sebagai contoh, sebelum ini beberapa penulis blog menghadapi tindakan undang-undang angkara tulisan mereka. Seorang belia 29 tahun ditahan di Kelantan selepas tulisan dalam blognya menghina Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar dan kerajaan negeri. Selepas dua hari menyembunyikan diri, penulis blog Adukatataruna akhirnya dtahan di polis di sekitar Kota Bharu, sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar. Dia disiasat mengikut Seksyen 233 (3) Akta Komunikasi dan Multimedia (1998). Manakala kes yang berikutnya pada Ogos 2008, penulis blog Penarik Beca, Abu Bakar Mohd Rashid ditahan kerana meletakkan gambar anjing pada logo Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam blognya yang disifatkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan sebagai satu bentuk penghinaan dan cubaan menghasut orang ramai supaya membenci polis. (Imlan Adabi, Berita Harian Online, 2010)

Kebanyakan mereka yang dikaitkan di atas tidak mempunyai latar belakang kewartawanan dan perundangan. Mereka menjadikan blog sebagai senjata untuk menulis apa saja, termasuk menghina dan mencerca peribadi orang lain, termasuk insan yang sudah meninggal dunia. Di negara kita pula ada tokoh yang menyarankan supaya penapisan internet untuk mengelakkan penyebaran bahan lucah dan hasutan. Bagaimanapun isu ini sudah menjadi polemik politik kerana media baru sering dianggap bebas berbanding media tradisional yang dikaitkan dengan parti pemerintah. Ada juga yang menyarankan supaya dilakukan penapisan peribadi bagi memastikan sesuatu kandungan di media baru boleh dimasuki atau tidak. Saranan ini tentunya juga tidak menyelesaikan masalah kerana penapisan peribadi sering diselewengkan oleh keperibadiannya sendiri. Menurut Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang,kebebasan akhbar di negara ini wajar ada kawalan serta had bagi memastikan keharmonian, kesejahteraan dan keselamatan tanah air serta rakyat berbilang kaum terus terpelihara (Kebebasan akhbar wajar ada had demi keharmonian, Berita Harian Online, Mei 2010). Kawalan itu bagaimanapun, katanya, mestilah secara adil serta berpatutan, manakala wartawan dan organisasi akhbar pula harus menggunakan kebebasan sedia ada dengan berpandukan tanggungjawab kepada agama, bangsa dan juga negara.  Beliau percaya tiada negara di dunia ini yang mengamalkan kebebasan sepenuhnya tanpa ditetapkan had dan tanggungjawab yang perlu diambil kira, termasuk Amerika Syarikat yang mendominasi ideologi demokrasi.

Kontradiksinya, kita dapat menyaksikan kewartawanan dalam talian sememangnya wajar dikawal. Kerajaan perlu menangani isu ini dengan menyediakan mekanisme berkesan semenjak awal pendidikan kepada generasi muda untuk memudahkan pemahaman mereka mengenai etika kewartawanan sebenar. Rakyat perlu dijelaskan satu persatu mengenai sesuatu isu tanpa berat sebelah dan tidak berbaur politik yang tidak berkesudahan. Masyarakat Malaysia semakin bijak dan berfikiran terbuka dalam penerimaan sebarang perubahan dan agenda Kerajaan. Tiada ubat yang tiada penawarnya, maka langkah-langkah yang konkrit, sistematik dan pragmatik harus dijalankan secara berterusan agar masalah ini boleh dibasmi hingga ke akar umbi.

Pandangan saya melalui penulisan ‘Kebebasan berita dan informasi siber: satu paradoks’ oleh Dr. Rahmat Ghazali



Berdasarkan petikan rencana daripada Muslim Milenia bertajuk ‘Kebebasan berita dan informasi siber: satu paradoks’ oleh Dr. Rahmat Ghazali, pelbagai informasi dan pendedahan beliau telah meluaskan horizon pemikiran saya untuk menyelusuri permasalahan tidak berkesudahan mengenai polemik kebebasan mutlak yang diberikan terhadap berita dan informasi di alam siber.Oleh itu, setelah menyelusuri keseluruhan barisan kata daripada rencana tersebut, saya bersetuju dengan pandangan beliau bahawa kebebasan berita dan informasi siber merupakan satu paradoks dalam menyusun propaganda mengelirukan kepada seantero dunia berdasarkan dalil-dalil prakarsa beliau dalam merungkai kebenaran sebenar tentang apa yang berlaku dalam kebebasan berita di dunia siber mutakhir ini. 

Dasarwasa ini, isu kebebasan berita dan informasi siber bukanlah satu perkara yang baru dalam era globalisasi tanpa limitasi kini.  Berdasarkan sumber petikan penulisan beliau, di Malaysia kewartawanan siber telah wujud sejak 1995 apabila akhbar The Star melancarkan versi sibernya (yang pertama di Malaysia) diikuti oleh akhbar New Straits Times. Namun demikian, malang sekali apabila terdapat pihak-pihak yang sewajarnya menjadi benteng pembangunan negara menyalahgunakan tanggungjawab yang digalas mereka seperti kes yang direkodkan pada tahun 1987 melalui Operasi Lalang;  empat buah akhbar telah digantung lesen, manakala terdapat juga yang diberikan amaran keras. Melalui operasi itu juga 97 orang termasuk ahli politik, penggiat Pertubuhan Hak Asasi Manusia, guru dan wartawan telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960. Hal yang serupa berlaku pada awal 1 Januari 2012 yang lalu, apabila Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim memfailkan saman berjumlah RM400,000 terhadap Amizudin Ahmad, 42 tahun yang juga ahli jawatankuasa Angkatan Muda Keadilan Rakyat (PKR) berhubung artikel palsu yang disiarkan beliau dalam blognya sharpshooterblogger.blogspot.com pada 28 Disember 2011 yang lalu. Amizudin mendakwa Datuk Seri DR Rais Yatim merogol pembantu rumahnya yang berwarga negara Indonesia (Berita Harian, 2012). Senario negatif yang simbiosisnya berlaku semenjak dua tiga dekad yang lalu dengan apa yang berlaku mutakhir kini menunjukkan betapa akta-akta yang digulung oleh parlimen dalam mengkodofikasikan undang-undang masih lagi tidak mampu memampan kemaraan berita dan informasi siber palsu dan provokatif yang tidak mempunyai sempadan limitasinya terutamanya dalam isu politik dan sensitiviti perkauman di Malaysia. 

Lain daripada itu, kendatipun pelbagai lapisan masyarakat yang gusar dengan perkembangan tidak sihat ini dengan menyuarakan hasrat kepada kerajaan untuk menyekat, meminda malah melikwidasikan klausa-klausa dalam kebebasan bersuara dan penyampaian berita dalam siber Maafkan saya atas pemikiran yang masih lagi rapuh dan dangkal dalam membincangkan isu ini secara terperinci, saya bersetuju dengan pandangan Dr. Rahmat dalam penulisannya tentang polemik kebebasan bersuara dan informasi siber sebagai satu bentuk paradoks yang berproksikan politik pembangkang dan kerajaan, serta keprihatinan beliau mengenai isu sensitiviti perkauman yang berlaku. Malah, kebimbingan beliau mengenai kebebasan media siber sehingga begitu mudah pengguna dalam talian boleh mengakses maklumat yang bersifat antiarus perdana seperti fahaman anarkisme, pengganas, agama sesat, kemurtadan, antiagama, pornografi dan lain-lain lagi mampu menyumbang kearah kehancuran nilai dan jati diri anak bangsa di masa hadapan sememangnya berasas. Namun demikian, selaku mewakili generasi muda yang mendokong cita-cita negara merealisasikan impian Wawasan 2020, secara realitinya tidak mungkin visi itu akan kesampaian lantaran generasi muda kini bersifat ingin tahu dan lebih terbuka. Sifat tutup pintu pada kemajuan dan menutup kebebasan bersuara yang akan membuat generasi muda ditakuk lama dan perlahan-lahan menjadi warga yang bacul untuk menyuarakan hasrat dan cita-cita murni kepada negara. 

Secara total Kerajaan dan pihak-pihak yang berportfoli menteri seharusnya berkongkalikung membuat anjakan paradigma dalam menentukan langkah generasi masa hadapan. Pengguna siber sedari awal sudah mengetahui bahawa mereka terikat dengan Akta Hasutan 1969, Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Fitnah 1957, Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 dan akta-akta lain yang berkaitan dengan media. Generasi muda kini seharusnya tidak dimomokkan dengan sifat negatif yang wujud dalam penerimaan informasi dan berita dalam talian. Sewajarnya mekanisme kawalan boleh dibina semenjak di bangku sekolah rendah lagi. Pendedahan sedari awal dapat membentuk nawaitu khudus generasi akan datang untuk menilai mana baik dan buruk sesuatu berita yang disampaikan itu. Melalui program dan kursus yang disediakan, generasi akan datang akan lebih prihatin dengan maklumat yang disampaikan dan bersifat berhati-hati mencari dalil untuk mengesahkan kesahihan berita yang disampaikan. Interpretasi yang benar disampaikan sedari awal dapat melatih generasi akan datang untuk menulis dengan lebih berhemah dan sensitif di masa akan datang.

Friday, 4 May 2012

Kebebasan berita dan informasi siber: suatu paradoks

Retrieved from Muslim Melinia

Kebebasan berita dan informasi siber: suatu paradoks

Oleh Dr Rahmat Ghazali


Kebebasan siber telah dimaktubkan melalui Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) yang mencatatkan dengan jelas bahawa “Tiada apa-apa jua dalam Akta ini boleh ditafsirkan sebagai membenarkan penapisan Internet (AKM 1998:3.3)”. Perakuan yang tuntas itu diulangi melalui Bil Jaminan Koridor Raya Multimedia.

Daripada pandangan golongan akademik, jaminan sedemikian tidak lain dan tidak bukan adalah untuk membina keyakinan daripada syarikat-syarikat ICT serta pelabur antarabangsa untuk sama-sama terlibat menjayakan projek hub ICT Malaysia di Cyberjaya dan Putrajaya (sewajarnya Cyberjaya dieja Siberjaya).

Akta Komunikasi dan Multimedia tersebut telah dimaktubkan pada tahun 1998 ketika negara sedang berdepan dengan kancah konflik politik antara mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalannya Datuk Seri Anwar Ibrahim. Secara umum, ramai para sarjana berpendapat bahawa AKM 1998 akan membuka ruang siber yang amat lumayan kepada kedua-dua pihak yang bertelagah untuk menghamburkan serangan politik masing-masing dalam ruang yang tiada batasnya, apatah lagi dengan jaminan kebebasan yang diberikan.

Namun ironinya parlimen Malaysia telah meluluskan AKM 1998 yang pastinya mengangkat falsafah dan dasar bahawa pembangunan teknologi informasi dan komunikasi (ICT) negara serta hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai hub ICT di rantau Asia Tenggara mengatasi paradoks yang akan diheret bersama kebebasan siber itu. Maka sebaik-baik sahaja AKM 1998 dimaktubkan terhamburlah laman-laman web seperti Mahafiraun, Mahazalim, dan banyak lagi yang menyerang mantan Perdana Menteri ketika itu. Nilai-nilai budaya Melayu seperti budi bahasa, kesopanan dan kesusilaan, terlebur dan banyaklah maki-hamun dan sumpah- seranah yang tidak mahu kita lihat terhambur melalui ruang siber.

Meskipun kekebasan siber yang diaktakan hanya menjurus kepada kebebasan daripada penapisan pihak berkuasa, namun dalam soal kandungan, pihak pengguna siber terikat juga dengan Akta Hasutan 1969, Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Fitnah 1957, Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 dan akta-akta lain yang berkaitan dengan media. Keistimewaan yang amat dirasai ialah kebebasan siber daripada Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (AMCP) sebagaimana yang dikenakan kepada media tradisional. Antara kekangan yang paling menggusarkan pihak media tradisional ialah sistem perlesenan yang mesti diperbaharui setiap tahun. Walau bagaimanapun kawalan terhadap gelagat pengguna siber sememangnya amat payah untuk dilaksanakan dan sesetengah sarjana media bersetuju bahawa kawalan terhadap kandungan siber ‘hampir mustahil untuk dikuatkuasakan’.


Internet bukanlah media ‘baru’ sebagaimana yang sering diuar-uarkan oleh sesetengah sarjana. Di Malaysia kewartawanan siber telah wujud sejak 1995 apabila akhbar The Star melancarkan versi sibernya (yang pertama di Malaysia) diikuti oleh akhbar New Straits Times. Namun pada ketika itu ramai yang tidak mengendahkan kewujudan berita dan informasi siber sedemikian. Hal ini mungkin kerana tanggapan bahawa tiada jaminan terhadap kebebasan siber sebagaimana tanggapan umum terhadap kekangan dan kawalan yang dikenakan kepada media tradisional yang lain di Malaysia. Lihat sahaja apa yang berlaku pada 1987 melalui Operasi Lalang; empat buah akhbar telah digantung lesen, manakala terdapat juga yang diberikan amaran keras. Melalui operasi itu juga 97 orang termasuk ahli politik, penggiat Pertubuhan Hak Asasi Manusia, guru dan wartawan telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960.


Namun mungkin juga pada sekitar 1995-1997 apabila akhbar versi siber tempatan diperkenalkan, ramai yang belum memiliki komputer pada ketika itu. Menurut Internet World Stats, pada tahun 1997 hanya terdapat 137,400 pengguna Internet di Malaysia. Jumlah tersebut meningkat secara mendadak kepada 1.5 juta pada tahun 1999 dan pada hari ini terdapat kira-kira 17 juta pengguna Internet di Malaysia atau 65.7% daripada keseluruhan jumlah penduduk Malaysia. Jumlah yang besar sedemikian mengatasi mana-mana jumlah pembaca akhbar, termasuk akhbar terlaris di Malaysia seperti Harian Metro (2.67 juta kepembacaan). Secara prinsipnya media siber lebih berpotensi untuk menyebarkan maklumat kepada pengguna yang lebih besar jumlahnya berbanding dengan media tradisional. Secara teorinya ia juga lebih berkuasa dalam konteks mempengaruhi khalayak. Namun media ini tidak mempunyai sebarang kekangan terhadap kandungannya. Malah menurut Ahiruddin Attan, Presiden Pakatan Kebangsaan Penulis Blog Malaysia, 50% daripada penggiat blog di Malaysia menolak etika kewartawanan kerana ia dilihat sebagai mekanisme mengekang kebebasan siber.


Jumlah Pengguna Internet di Malaysia
Tahun 2005 - 10,040,000

Tahun 2006 - 11,016,000
Tahun 2007 - 13,528,000

Tahun 2008 - 15,274,000

Tahun 2009 - 6,902,600

Tahun 2010 - 17,102,000

Sumber (IWS 2009)

Negara Malaysia yang tercinta ini, amat unik dalam beberapa aspek sosio-politiknya. Malaysia tidak boleh disamakan dengan negara Asia Tenggara yang lain. Dalam konteks komposisi kaum, Thailand misalnya, dibina oleh lebih 90% rakyat peribumi Thai, begitu juga Indonesia, Filipina, Brunei Darussalam, Vietnam, Laos, Kambodia dan Myanmar. Singapura, meskipun merupakan negara yang diperintah oleh kaum pendatang Cina, namun komposisi kaum Cina amat signifikan iaitu 76% daripada jumlah 4.8 juta.

Walaupun kaum Melayu ditanggapi sebagai kaum yang dominan di Malaysia, namun jumlah penduduk Melayu tidaklah begitu dominan; hanya sekitar 65% terdiri daripada etnik Melayu-Bumiputera (50% di Semenanjung dan 15% lagi di Sabah dan Sarawak). Ditambah pula dengan segregasi politik, kita dapat melihat bahawa kaum Melayu terpecah kepada tiga komponen iaitu UMNO, PAS, DAP dan Keadilan. Aspek ini harus juga menjadi pertimbangan untuk melihat kestabilan sosio-politik Malaysia kerana terdapat banyak aspek dalam sistem sosio-politik Malaysia yang menganjurkan kecenderungan ke arah segregasi sosial. Misalnya sistem pendidikan Malaysia membenarkan kewujudan sekolah-sekolah jenis kebangsaan, media massa Malaysia juga terpecah kapada media yang berasaskan etnik (Utusan Melayu, Nan Yang Siang Pau, Tamil Neesan), bahasa pertuturan juga condong kepada bahasa ibunda masing-masing, segregasi agama, segregasi budaya, segregasi institusi politik, malah segregasi paras rupa juga melebarkan ruang asimilasi kaum. Agak relevan jika konsep Satu Malaysia diangkat sebagai gagasan negara pada era Datuk Seri Najib ini.


Sejarah telah menunjukkan bahawa telah banyak berlakunya perbalahan kaum di Malaysia. Antara tahun 1945 sehingga 2008 terdapat kira-kira 30 peristiwa perbalahan kaum yang direkodkan di seluruh negara (sila rujuk Andaya dan Andaya 1982, Malek 2000; Means 1976, Mohd Hamdan 1993; Pareira 2001; dan Rahmat 2008).


Landskap sosio-politik sedemikian telah menjadikan media massa Malaysia amat sensitif dalam hal-hal yang menyentuh soal etnik, apatah lagi soal agama, kepercayaan dan budaya. Malangnya media massa Malaysia (termasuk media arus perdana) tidak dapat lari laripada semangat ‘nasionalisme kaum’ atau mungkin agak kasar jika digunakan istilah etnosentrisme.


Utusan Melayu pastinya amat tebal dengan ke-Melayuannya. Hal ini tidak harus dilihat sebagai satu kesalahan kerana itulah falsafah kelahiran Utusan Melayu sejak sebelum Merdeka lagi. Namun jarang yang cuba menyelinap betapakah tebalnya ‘etnosentrisme’ akhbar-akhbar Cina dalam hal memperjuangkan kepentingan kaum Cina itu sendiri. Amat malang lagi apabila ramai kaum Melayu tidak tahu berbahasa Mandarin, apatah lagi membaca akhbar berbahasa Mandarin. Sebaliknya ramai kaum Cina termasuk golongan akademik dan sarjana yang tahu berbahasa Melayu.


Kebebasan media sememangnya adalah sesuatu yang wajar. Namun sejauh manakah kebebasan media yang harus diwajarkan? Apakah kebebasan mutlak sehingga kata-kata maki-hamun, caci-cerca, fitnah, pembohongan, dan emosi harus diwajarkan atas nama kebebasan media? Senario sedemikian dalam media siber semakin hari semakin serius. Mantan Perdana Menteri seperti Tun Mahathir dan Tun Abdullah Badawi pernah diserang dengan kata-kata yang tidak bermaruah seperi ‘gila’, ‘bodoh’, ‘ular tedung’ dan bermacam-macam lagi yang amat memilukan. Apakah ini yang dinamakan kebebasan? Dan apakah kebebasan sedemikian yang kita mahu?


Media siber adalah media yang telah menggabungkan segala sifat-sifat media tradisional; tekstual, audio, video, animasi, grafik, foto, slaid dan segala-galanya yang ada pada media tradisional. Ia dianggap oleh sesetengah sarjana komunikasi sebagai media ‘superior’ yang tidak boleh ditandingi oleh media tradisional dalam konteks teknologinya serta karektor canggihnya. Dengan ruang dan arkibnya yang amat besar, media siber menjadi tempat longgokkan maklumat yang amat besar, namun amat mudah diakses.

Selain itu media siber juga telah merobah falsafah kewartawanan; cara mendapatkan berita, cara menerbitkan berita dan cara berita disebar-luaskan. Apa yang penting ialah, media siber telah mewujudkan suatu bentuk komunikasi baru yang interaktif secara dua-hala antara editor dan khalayak, yang diistilahkan sebagai komunikasi vertikal, dan antara khalayak dengan khalayak yang diistilahkan sebagai komunikasi horizontal.


Daripada sifat media siber yang sedemikian, khalayak sudah boleh berhubung dengan sumber berita dan dengan itu juga khalayak boleh mencabar kebenaran sesuatu berita.


Segala sifatnya yang sedemikian diperkukuhkan lagi dengan keupayaannya untuk membenarkan khalayak mengakses berita mengikut cita-rasa dan menempah berita tersebut dengan pantas dan effisien. Misalnya, katakan masyarakat Malaysia mahu mengetahui tentang tokoh-tokoh tertentu seperti pejuang anti-aparteid, Nelson Mandela; khalayak hanya perlu memasukkan nama Nelson Mandela ke dalam ruang carian (misalnya Google) dan khalayak akan memperoleh 5.76 juta artikel, blog dan laman web (sebagaimana diperoleh pada 11 Feb 2010) yang membicarakan tentang Mandela.


Carian ini boleh dicitarasakan dengan menempah pula aspek-aspek lain tentang Mandela, misalnya ‘Keluarga Nelson Mandela’ (Nelson Mandela’s family) dengan memasukkan frasa berkenaan ke dalam ruang carian. Khalayak akan memperoleh 3.33 juta artikel, blog dan laman web (sebagaimana diperoleh pada 11 Feb 2010) yang membicarakan tentang hal berkenaan. Khalayak bukan sahaja akan memperoleh lambakan maklumat, tetapi khalayak juga boleh mengaksesnya dengan pantas.


Kita tidak gusar sekiranya khalayak ingin mengakses bahan-bahan tentang tokoh-tokoh politik, NGO, atau selebriti. Namun dengan kebebasan media siber, khalayak juga boleh mengakses maklumat yang bersifat antiarus perdana seperti fahaman anarkisme, pengganas, agama sesat, kemurtadan, antiagama, pornografi dan lain-lain lagi. Misalnya khalayak dengan mudah boleh mengakses maklumat tentang ‘Bagaimana cara membuat bom untuk membunuh orang’ (How to make bomb to kill people). Sebagaimana diperoleh pada 11 Feb 2010, terdapat 8.55 juta artikel, blog dan laman web yang membicarakan tentang cara untuk membuat bom bagi tujuan membunuh. Inilah antara paradoksnya media siber.


Pada Jun 2009, Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-Moon pernah menguar-uarkan supaya semua ahli masyarakat membantu untuk menghapuskan kempen kebencian yang amat lewah melalui Internet (dipetik daripada UNESCO 2009). Antara kempen kebencian yang dimaksudkan oleh Ki-Moon ialah kempen kebencian terhadap Islam. Pastinya kempen kebencian sebegitu mengandung fitnah, pembohongan dan hasutan sebagai mekanisme pemujukan yang boleh menyumbang kepada balkanisasi siber.


Adolf Hitler pernah berkata, “Sesuatu pembohongan pun boleh diyakini kebenarannya jika sering diulangi.” Malah Hitler menambah, “Lebih besar sesuatu pembohongan, maka ahli masyarakat akan lebih mempercayainya”.


Internet hendaklah digunakan sebagai wahana kewarganegaraan terutamanya dalam merungkai isu dalaman negara sendiri dan sedikit-sebanyak hal global. Dengan itu khalayak akan berterusan meluaskan pandangan dunia mereka setelah menguji tanggapan dan pandangan mereka sendiri dengan cara mempelajari dan menilai pandangan orang lain yang mungkin berbeza. Sesuatu perbezaan pandangan haruslah dilihat sebagai nilai yang positif yang boleh mencambahkan dan memperluaskan ruang pemikiran. Insiden seperti Al-Maunah, Memali, Hindraf, Gelombang Kuning, gejala obsesi pornografi dan gejala sosial lain yang menjurus kepada gejala obsesi dan ketaksuban mempunyai pertalian yang signifikan terhadap gejala balkanisasi media ini. Yang kita bimbangkan ialah gejala anarkis, fitnah dan hasutan seperti yang kita lihat pada kes-kes tertentu seperti ‘Muslim terrorist’ yang telah menghina penganut agama Islam. End.

-----------------------------------------------------------

Dr Rahmat Ghazali ialah Ketua Program Pengajian Siswazah, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM